Sunday, August 6, 2017

Zahid sahabat susah dan senang saya, kata Najib



Mohamad Fadli

SHAH ALAM: Dilihat sebagai langkah mematikan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai konspirasi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mempertahankan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan berkata, timbalannya itu adalah sahabatnya yang baik di waktu susah mahupun senang.

“Saya dengan Zahid ini sudah lama, sejak 1986 lagi, dia bukan sahaja timbalan saya yang setia tetapi sahabat yang sentiasa bersama saya dalam susah dan senang,” kata Najib.

Najib menegaskan tidak percaya dengan dakwaan kononnya Ahmad Zahid ada cuba untuk menggulingkan kepimpinan beliau.

Justeru tambah beliau, dakwaan terhadap Ahmad Zahid itu merupakan 1 fitnah dan dakwaan tidak masuk akal.

“Tak masuk akal lepas jadi timbalan perdana menteri minta guling saya. Tak mungkin dan tidak betul. Satu fitnah sama sekali.

“Kita jangan berlegar cerita begini. Percayalah kepimpinan Umno kukuh dan saya tetap yakin dengan Zahid, habis cerita,” katanya dalam 1 program di Sekolah Menengah Kebangsaan Sha Alam, Seksyen 18 di sini.

Semalam, Zahid menegaskan beliau bersedia untuk bersumpah laknat berhubung pendedahannya tentang konspirasi menjatuhkan Najib.

Zahid berkata, beliau tidak gentar dengan cabaran berhubung isu tersebut ekoran pendedahannya kerana mempunyai bukti iaitu rakaman daripada pertemuannya dengan pemimpin yang merancang konspirasi itu.

“Saya ada rakaman dan gambar tentang pertemuan dengan orang itu. Saya simpan rakaman itu dan ia dinaratif.

“Saya sedia sahut cabaran dan sanggup sumpah laknat di masjid mana-mana pun bahawa yang merancang cuba jatuhkan perdana menteri adalah orang itu bukan saya,” kata Ahmad Zahid.

“Tetapi orang itu juga mesti sanggup bersumpah juga,“ kata beliau.

Akhbar melaporkan Ahmad Zahid mengakui mempunyai rakaman yang membuktikan dirinya tidak terlibat dalam sebarang konspirasi untuk menjatuhkan Najib seperti didakwa pembangkang.

Beliau berkata, pertemuannya dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir pada 2015 juga diadakan atas keizinan perdana menteri.

0 comments

Post a Comment