Friday, December 1, 2017

Fatwa Muhammad Afifi jadi rujukan



SULTAN MUHAMMAD V diiringi Najib Tun Razak dan Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan Anugerah Perdana Maulidur Rasul kepada Muhammad Afifi Al-Akiti dalam Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2017 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, semalam. – utusa n/Aizzu l A.Majid

Amirul Afiq Mastor Dan Muhammad Hasif Idris

01 Disember 2017 3:00 AM

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2017, Datuk Dr. Muhammad Afifi Al-Akiti, 40, pernah mendapat pengiktirafan dunia apabila fatwa yang ditulisnya menjadi rujukan.

Pensyarah Pusat Pengajian Islam, Universiti Oxford, United Kingdom (UK) itu menulis satu fatwa menurut Mazhab Syafie berjudul Mudafi’ al-Mazlum bi-Radd al-Muhamil ‘ala Qital Man La Yuqatil’ (Membela Pihak Teraniaya Dengan Menyangkal Kumpulan Pelampau Yang Membunuh Orang Awam).

“Saya tulis sewaktu tragedi pengeboman di London yang berlaku pada 7 Julai 2005. Tulisan itu mengkritik ekstremis Islam dan golongan pelampau yang mensasarkan orang awam di dalam peperangan dan serangan mereka.

“Fatwa itu juga disokong oleh ramai ulama Islam dan mendapat pembacaan yang meluas di persada dunia. Sebagai umat Islam amat penting untuk kita menjernihkan sentimen Islamophobia yang me­landa masyarakat Eropah hari ini,” katanya selepas menerima anuge­rah itu sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1439 Hijrah di sini hari ini.

Pakar dalam bidang teologi Islam, Falsafah dan Sains itu mene­rima wang tunai RM50,000, trofi dan sijil penghargaan.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V. Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Dalam pada itu, Muhammad Afifi yang berasal dari Batu Gajah, Perak, berkata, beliau akan memberikan hadiah kemenangan itu kepada ibunya.

“Alhamdulillah, ini semuanya anugerah dari Allah SWT atas berkat kedua ibu bapa yang ba­nyak mendidik serta jasa guru-guru yang pernah mengajar sehingga saya berada di tahap ini. Sesungguhnya, ia menuntut pengorbanan yang tinggi,” jelasnya.

0 comments

Post a Comment