Monday, January 1, 2018

Setelah 44 Tahun Ampang Park Secara Rasmi Ditutup



Setelah beroperasi selama 44 tahun, kompleks beli-belah Ampang Park akan menutup tirainya hari ini dan detik-detik akhir itu meninggalkan perasaan bercampur-baur bagi peniaga serta pengunjung setianya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kompleks nostalgia itu.

Tinjauan mendapati sehingga hari terakhirnya, Ampang Park masih menjadi tumpuan warga  kota walaupun kunjungan mereka bukan sekadar untuk membeli-belah tetapi rata-ratanya datang bagi mengimbau kembali kegemilangan kompleks beli-belah tertua negara itu.

Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang turut kelihatan berlegar di kompleks beli-belah itu berkata Ampang Park begitu signifikan kerana ia banyak membantu golongan Bumiputera terutama Melayu dalam perniagaan mereka.

“Hari ini (Ahad) merupakan hari terakhir kompleks ini beroperasi, memang saya agak sedih kerana saya selalu ke sini untuk mencari barang keperluan.

“Bagaimanapun pembangunan harus diteruskan seiring dengan arus pemodenan negara,” katanya.

Ampang Park dibina pada 1972 dan dibuka kepada orang awam pada 15 Mac 1973, menjadikannya kompleks beli-belah pertama di negara ini dengan keseluruhan 250 lot premis yang menjual pelbagai jenis barangan keperluan selain perkhidmatan untuk warga kota.

Kompleks berkenaan akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan stesen Transit Aliran Massa (MRT) Ampang Park.

Dalam pada itu, restoran McDonald’s di Ampang Park, di sini pada Ahad tidak melepaskan peluang mencipta kenangan manis bersama pelanggannya sebelum ia ditutup selamanya bermula hari ini.

Restoran berkenaan yang telah beroperasi di kompleks beli-belah itu hampir tiga dekad, menutup sejarahnya dalam suasana cukup meriah dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan seperti persembahan busker, lukisan muka, gubahan belon dan sesi fotografi.

Pengarah Kanan Pemasaran, Komunikasi dan Penyelidikan McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai berkata pelanggan boleh mencipta memori baharu di McDonald’s yang baru dibuka di Intermark, di Jalan Tun Razak di sini.

“Restoran yang dibuka sejak seminggu lepas kini menawarkan suasana moden buat pelanggannya iaitu dengan konsep teknologi baharu dan perkhidmatan pelanggan yang inovatif.

“Antaranya pelanggan kini boleh membuat pesanan sendiri di kiosk layan diri, cara ini memudahkan dan mampu mengurangkan masa menunggu tanpa perlu beratur panjang,” katanya semasa merasmikan majlis penutupan McDonald’s Ampang Park di sini, pada Ahad.

Beliau berkata pelanggan yang bekerja atau tinggal di kawasan berhampiran Ampang Park masih boleh mendapatkan hidangan McDonald’s tanpa perlu berjalan jauh.

0 comments

Post a Comment