Thursday, April 13, 2017

Penyokong Kelantan Kecewa



KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan kelab penyokong tidak menyalahkan peminat dan penyokong mereka berhubung insiden kekecohan yang tercetus di luar stadium selepas tamat perlawanan Liga Super, malam tadi.

Setiausaha KAFA , Datuk Ismail Md Noor, berkata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) harus mengambil perhatian serius untuk menyiasat segera punca berlaku kekecohan penyokong.

"KAFA tidak pernah menyalahkan penyokong sendiri, malah menghormati sokongan mereka. Punca utamanya ialah kegagalan pengadil mengendalikan perlawanan dengan cekap," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

"Penyokong berhak menyuarakan rasa tidak puas hati mereka, malah terbukti penyokong lebih matang dan berdisiplin, malah mereka pernah menerima anugerah penyokong terbaik tiga tahun lalu.

"Kekecohan juga tidak pernah berlaku sebelum ini walaupun Kelantan tewas tiga kali di laman sendiri. Namun, penyokong cukup kecewa dengan mutu pengadilan yang lemah ketika perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu," katanya.

Mengulas lanjut tindakan penyokong, Ismail mengakui kecewa dengan sikap pengadil yang tidak profesional dan berkata semua pihak pasti dapat menerima kekalahan jika perlawanan berakhir dengan mutu pengadilan yang baik.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong TRWKB, Mohd Zainy Mohd Zain juga sependapat dengan KAFA dan menegaskan, mereka tidak harus dipersalahkan sepenuhnya atas insiden kekecohan itu.

"Punca utama penyokong berkumpul di luar stadium adalah kerana tindakan pengadil, Md Nazmi Nasaruddin, menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT dan ia mencetuskan rasa tidak puas hati kira-kira 13,000 peminat yang hadir.

"Penyokong juga mempertikaikan keputusan pengadil yang melayangkan kad kuning dan kad merah kepada Kelantan sedangkan JDT yang banyak melakukan kekasaran tidak diberikan sebarang kad amaran," katanya.

0 comments

Post a Comment